Sunday 6 July 2014

Kerja Kursus Pendidikan Moral 2013/ 2014 (tugasan harian 4)

Bincangkan sebab-sebab murid sekolah perlu mematuhi peraturan.

“Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak,” bertepatan dengan pernyataan bahawa  seseorang itu terutamanya seorang pelajar hendaklah sentiasa mematuhi peraturan walau di mana berada. Mematuhi peraturan sememangnya dapat membentuk generasi yang lebih sihat dalam kalangan masyarakat. Sekiranya murid-murid tidak mematuhi peraturan, banyak kesan negatif yang akan berlaku. Antaranya ialah kes gaduh, mencuri, tidak berpakaian kemas dan sebagainya. Gejala ini akan menular  kepada murid-murid lain dan seterusnya  akan melahirkan generasi yang tidak berakhlak.

             Peraturan diadakan bukannya untuk menyusahkan murid-murid tetapi bertujuan untuk memastikan segala aktiviti dan kegiatan harian dapat berjalan lancar tanpa gangguan. Jika peraturan yang disediakan tidak dipatuhi, maka segala-galanya akan menjadi kelam-kabut dan seterusnya suasana yang tidak tenteram akan wujud. Akhirnya masyarakat akan berdepan dengan golongan yang membawakan kerosakan kepada mereka.

            Murid-murid yang mematuhi peraturan dapat memantapkan disiplin mereka, sekaligus kejadian-kejadian yang tidak diingini tidak akan berlaku. Mereka yang mematuhi peraturan akan lebih mudah memberikan tumpuan dalam pelajaran kerana mampu belajar dalam suasana yang lebih selesa. Kesannya, mereka akan berjaya dalam peperiksaan dan membentuk insan yang berilmu. Para pelajar hendaklah mengamalkan nilai mematuhi peraturan dan undang-undang untuk melahirkan golongan pelajar yang cemerlang pada masa yang akan datang. Contohnya, seorang pelajar yang menerima peraturan yang ditetapkan mampu mengelakkan diri daripada melakukan jenayah.


            Nilai harga diri boleh disemai dalam diri pelajar jika mereka mematuhi peraturan. Umpamanya, peraturan  boleh memupuk sikap mulia dalam kalangan pelajar. Selain itu, peraturan dapat mewujudkan sikap sayang-menyayangi, bertolak ansur serta dapat menghindarkan sikap negatif dalam diri pelajar dan menjaga maruah diri pelajar. Dengan ini, para pelajar mampu memuliakan maruah diri mereka.

Malahan peraturan sekolah juga dapat memupuk keinginan untuk bersaing secara sihat serta mematangkan pelajar itu sendiri. Peningkatan imej sekolah sebagai sekolah yang berdisiplin juga mampu tercapai jika para pelajar mematuhi peraturan sekolah yang ditetapkan. Setiap murid mestilah mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap imej sekolah. Oleh itu, nilai amanah hendaklah dipupuk dalam diri pelajar agar boleh menimbulkan keyakinan warga sekolah terhadap para pelajar dalam usaha meningkatkan disiplin sekolah.

            Jelaslah bahawa pelajar perlu mematuhi peraturan sekolah bagi mewujudkan masyarakat yang seimbang dari segi jasmani, emosi , rohani,  intelek dan hubungan sosial mereka. Justeru, setiap murid perlulah mematuhi yang ditetapkan agar dapat menjadi insan yang berguna dan lebih berdisiplin.


3 comments: