Sunday 6 July 2014

Kerja Kursus Pendidikan Moral 2013/ 2014 (tugasan harian 2)

Mengapakah jasa ibu bapa perlu dihargai?

Tanpa ibu bapa,siapalah kita? Ibu bapa merupakan insan terpenting dalam hidup setiap manusia. Jasa mereka kepada kita tidak dapat diganti atau dibalas menggunakan wang ringgit. Mereka melahir, mendidik, serta membesarkan kita dengan baik, bagai menatang minyak yang penuh. Pada asalnya kita adalah insan kerdil yang tidak mengetahui apa-apa mengenai erti kehidupan. Dengan asuhan dan didikan ibu bapa, maka terlahirlah kita seperti mana hari ini. Bak kata papatah, “anak kecil ibarat kain yang putih, ibu bapalah yang mencorakkannya”.

Setiap anak-anak pasti amat menyayangi ibu bapa masing-masing. Seperti mana yang dituntut dalam setiap agama, sebagai anak, kita harus mentaati segala arahan dan suruhan ibu bapa selagi perkara tersebut tidak bertentangan dengan agama yang dianuti oleh keluarga tersebut. Kita harus mematuhi segala suruhan-Nya dengan menyayangi ibu bapa dengan sepenuh hati dan cuba sedaya upaya memenuhi permintaan mereka. Mereka juga mungkin pernah terasa dengan tindakan yang telah kita lakukan secara sengaja mahupun tidak disengajakan. Namun, tidak kedengaran sebarang rintihan daripada bibir mereka. Ini kerana mereka amat menyayangi kita. Oleh itu, kita haruslah bersyukur kepada Tuhan yang telah membawa kedua-dua insan ini dalam kehidupan kita. Sebagai anak, kita perlu mengamalkan nilai kepercayaan kepada Tuhan agar mampu menjadi panduan yang terbaik bagi membalas jasa kedua-dua ibu bapa kita.

Ibu bapa telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. Sebelum kita diwajibkan bersekolah, ibu dan bapa telah mengajar kita tentang asas kehidupan seperti berjalan, berlari dan sebagainya. Setelah kita pandai berfikir, ibu bapa mula menerapkan nilai-nilai murni dalam diri kita. Bak kata perpatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Ibu bapa juga sering kali menasihatkan kita agar pandai membezakan antara baik ataupun buruk setiap keputusan yang akan kita lakukan demi mewujudkan keluarga bahagia. Oleh itu, sebagai anak kita hendaklah mengamalkan nilai hormat dan taat kepada anggota keluarga. Contohnya, kita haruslah membalas jasa ibu bapa kita dengan memberi layanan bersopan dan menjaga mereka dengan baik apabila kita dewasa kelak.

Selain itu, kita juga perlulah menerapkan nilai tanggungjawab terhadap keluarga dalam diri kita bagi membalas jasa ibu bapa kita. Ibu bapa merupakan insan terpenting dalam hidup setiap manusia. Jasa mereka kepada kita tidak ternilai harganya. Mereka sanggup membanting tulang dan bersengkang mata untuk mencari rezeki yang halal bagi membesarkan kita. Hasil yang diperolehi kemudiannya digunakan untuk membayar yuran pendidikan kita. Bagi menghargai jasa ibu bapa kita, kita hendaklah belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan kerana itulah kewajipan yang harus dilaksanakan terhadap keluarga. Ibu bapa tidak pernah mengharapkan juaan harta emas untuk membalas jasa mereka tetapi harapan mereka hanyalah agar anak-anak mereka menjadi insan yang berguna, berjaya dan mampu menjaga maruah keluarga di dunia mahupun di akhirat.Titisan yang mengalir tatkala si anak menerima segulung ijazah merupakan kegembiraan sebenar mereka.

Sebagai seorang anak,kita juga boleh menghargai jasa kedua-dua ibu bapa kita dengan beradap sopan. Hal ini kerana budi bahasa dan sopan santun yang kita pamerkan melambangkan kedua-dua ibu bapa kita. Bak kata pepatah, “bapak borek anak rintik”.Segala ilmu dan tunjuk ajar yang diterapkan oleh ibu bapa kepada kita dianggap seperti bagaimana acuan, begituhlah kuihnya. Justeru itu, kita hendaklah mengamalkan nilai hemah tinggi agar masyarakat luar akan berpandangan positif kepada kedua-dua ibu bapa kita. Contohnya, kita mestilah semtiasa berbudi pekerti mulia dalam pergaulan seharian.

Kesimpulannya, setiap anak perlulah menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapa. Meskipun sekadar ucapan hari ibu atau hari bapa dilafazkan oleh anak-anak, hal ini memadai buat mereka. Kita perlu tahu, suatu hari nanti kita juga akan  menjadi tua dan mengalami apa-apa yang dirasai oleh ibu bapa kini.


1 comment: