Wednesday 30 July 2014

Kerja Kursus Pendidikan Moral 2013/ 2014 (tugasan harian 7)

Pembuangan bahan-bahan sisa pertanian akan mencetuskan masalah alam sekitar sekiranya tidak diurus dengan baik. Bincangkan bagaimana bahan sisa pertanian boleh ditebusguna untuk mengelakkan masalah alam sekitar.



Alam sekitar penting kepada kehidupan manusia dan benda-benda hidup yang lain. Hal ini demikian kerana alam sekitar yang bersih dapat menjamin kehidupan yang sejahtera. Antara kepentingan menjaga alam sekitar ialah dapat mewujudkan suasana persekitaran yang bersih dan nyaman. Suasana yang sedemikian penting terutamanya untuk merehatkan minda setelah penat bekerja atau belajar. Suasana yag tenang dan nyaman juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan mengelakkan ketegangan. Namun demikian, pembuangan bahan-bahan sisa pertanian kian meruncingkan dan akan mengundang kepada masalah alam sekitar sekiranya tidak diurus dengan baik.
       
     Bahan-bahan sisa pertanian boleh ditebus guna untuk mengelakkan masalah alam sekitar. Pelbagai cara boleh dilakukan bagi memastikan keberkesanan kaedah menebus guna bahan-bahan sisa pertanian. Cara yang pertama ialah dengan menghasilkan baja kompos. Bahan-bahan sisa buangan pertanian seperti jerami, sekam padi, dan hampas tebu boleh diproses untuk menghasikan baja organik. Baja organik tersebut boleh digunakan bagi membaja tanaman bagi menyuburkan tanah dan meningkatkan kualiti tanaman baharu.. Oleh itu, nilai menyayangi dan menghargai alam sekitar hendaklah disemai dalam kalangan masyarakat Malaysia bermula dari zaman kanak-kanak lagi, bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
          
  Selain itu, bahan sisa pertanian juga boleh ditebus guna dengan cara menjana biogas. Misalnya, najis lembu, kambing, dan ayam boleh dirawat secara biologi melalui proses pembiakan mikrobiologi. Proses pereputan yang berlaku akan menghasilkan gas metana. Penggunaan gas metana amat meluas sebagai bahan bakar, dan digunakan dalam proses kimia dalam bidang industri. Dengan menebusguna semula bahan-bahan sisa pertanian, masyarakat mampu mengekalkan kualiti kehidupan manusia dan alam sekitar yang harmoni. Oleh itu, nilai keharmonian manusia dengan alam sekitar hendaklah disemai dalam diri setiap lapisan masyarakat.
     
Bahan-bahan sisa pertanian juga boleh ditebus guna dengan cara menghasilkan perabot yang berkualiti dengan menggunakan pokok getah dan batang-batang kelapa sawit. Pokok-pokok ini terbukti dapat digunakan dalam penghasilan perabot seperti almari, meja, katil dan sebagainya. Tambahan pula, kos yang diperlukan adalah jauh lebih murah berbanding menggunakan pokok jati atau pokok-pokok lain. Sehubungan dengan itu, masyarakat perlu mengamalkan nilai  peka terhadap alam sekitar serta lebih  berfikiran inovatif  dalam usaha menyelesaikan isu alam sekitar.

Cadangan terakhir yang boleh dilakukan bagi mengurangkan masalah pengurusan pembuangan alam sekitar yang tidak terkawal adalah dengan menjadikan bahan sisa pertanian sebagai sumber makanan haiwan ternakan. Contohnya, hampas kelapa dan hampas isirung kelapa sawit boleh dijadikan makanan binatang ternakan. Justeru, masyarakat sekeliling perlulah sedar bahwa pengekalan keseimbangan alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama.Maka, nilai kemapanan alam sekitar mestilah diamalkan dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan bersama.

Akhir kata, kita mestilah bersama-sama menunaikan tanggungjawab menjaga alam sekitar demi menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik.


No comments:

Post a Comment