Tuesday 8 July 2014

Kerja Kursus Pendidikan Moral 2013/ 2014 (tugasan harian 5)

Perkahwinan adalah sekali dalam seumur hidup, itulah kata pujangga. Wajarkah majlis perkahwinan disambut secara sederhana atau secara besar-besaran?



Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa perkahwinan merupakan impian setiap pasangan kekasih yang ingin mendirikan rumah tangga. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga tidak lagi terikat dengan kehendak keluarga masing-masing sama ada dari segi pemilihan pasangan, aturcara majlis, dan sebagainya. Dek kata pujangga “perkahwinan adalah sekali dalam seumur hidup,” maka para bakal pasangan raja sehari ini beranggapan bahawa majlis perkahwinan sepatutnya disambut secara besar-besaran. Pada pendapat saya, penyataan tersebut adalah tidak wajar.

Majlis perkahwinan sewajarnya diadakan secara sederhana mengikut kemampuan masing-masing, bak kata pepatah, “ukur baju di badan sendiri”. Setiap pasangan haruslah menyemai nilai rasional dalam diri mereka. Bakal pengantin ini seharusnya  berfikir secara matang dalam merealisasikan kebahagiaan mereka dan sekaligus mengambil tindakan yang wajar dalam membina rumah tangga. Para pasangan hendaklah mengambil kira perancangan masa hadapan dan bukannya terlalu ghairah dalam merancang perkahwinan yang mewah lagi gemilang. Contohnya, kebanyakan pasangan muda-mudi masa kini sanggup papa asal bergaya seperti membuat pinjaman yang melebihi kemampuan dengan pihak bank semata-mata  memenuhi nafsu bagi meraikan  majlis perkahwinan secara besar-besaran.

Majlis perkahwinan  sewajarnya dilangsungkan secara sederhana bagi mengelakkan penyesalan jangka panjang. Majlis perkahwinan yang diadakan secara besar-besaran bukanlah kunci  kebahagiaan  bagi setiap pasangan kekasih yang ingin mendirikan rumah tangga.. Begitu halnya juga dengan majlis perkahwinan yang diadakan secara sederhana. Majlis perkahwinan yang sederhana tidak menandakan bahawa alam perkahwinan bagi pasangan tersebut tidak akan berkekalan. Oleh itu, setiap pasangan mestilah mengamalkan nilai kesederhanaan dalam  merancang majlis perkahwinan mereka. Mereka sewajarnya bersikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan sentiasa mengambil kira kepentingan bersama. Misalnya, banyak majlis perkahwinan memainkan  pelbagai rentak muzik dengan kuat, disajikan dengan pelbagai tarian barat dan sebagainya  tanpa menghiraukan  ketenteraman ramai pihak.

Kesimpulannya, saya tetap berpendapat bahawa majlis perkahwinan sewajarnya diadakan secara sederhana. Pengekalan kebahagiaan rumah tangga bukanlah terletak pada sebesar mana majlis yang diadakan tetapi pada kecekalan perancangan masa depan, sifat toleransi, kasih sayang yang mendalam, dan sebagainya adalah kunci bagi  keluarga yang bahagia.


No comments:

Post a Comment