Dewasa ini, kebanyakan anak-anak lebih suka
menempatkan ibu bapa mereka di rumah orang-orang tua. Mengapakah fenomena ini
berlaku?
“Seorang ibu mampu menjaga sepuluh
orang anak, tetapi sepuluh orang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu”. Kata-kata
seperti itu sering dibicarakan mengenai anak-anak pada zaman siber ini yang
dikatakan tidak mampu menjaga orang tua mereka. Mereka lebih rela menempatkan
orang tua mereka di rumah-rumah orang tua atau dibiarkan terbiar tanpa dijaga.
Fenomena seperti itu berlaku secara berleluasa akibat beberapa faktor.
Menempatkan golongan warga emas di bawah
penjagaan rumah kebajikan merupakan satu perbuatan yang tidak bermoral oleh
anak-anak. Antara faktor yang paling ketara yang mengakibatkan fenomena
tersebut berlaku ialah sikap manusia itu sendiri. Segelintir anak-anak memandang
hina terhadap golongan ini. Mereka menganggap golongan ibu bapa yang sudah
lanjut usia tidak berguna lagi malah membebankan. Oleh itu, anak-anak lebih
gemar menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang-orang tua daripada menjaganya
sendiri . Seharusnya anak-anak wajib mengamalkan nilai kasih sayang terhadap
keluarga dan belajar menghargai ibu bapa sendiri kendatipun ibu bapa mereka
sudah tua dan tidak mampu menguruskan diri sendiri.
Bukan itu sahaja, anak-anak juga
sering memandang ringan terhadap orang tua mereka. Mereka menganggap ibu bapa
mereka telah tua tidak berguna dan berjasa lagi. Mereka tidak terfikir tentang
jasa-jasa yang telah diberikan oleh ibu bapa mereka sehingga mereka dapat menikmati kesenangan. Ingatlah,
tanpa ibu bapa, maka tiadalah insan yang bergelar anak-anak di muka bumi ini. Selain
itu, kecacatan, nyanyuk, ketidaksefahaman antara ibu bapa dan anak-anak,
kesibukan kerjaya anak-anak, dan masalah kewangan juga merupakan punca
kesanggupan anak-anak menghantar ibu bapa ke rumah orang tua. Justeru,
anak-anak mestilah mengamalkan nilai
hormat dan taat kepada anggota keluarga dan mengambil berat akan tanggungjawab
menjaga kedua ibu bapa.
Dari aspek lain pula, punca
pengabaian warga tua juga disebabkan oleh tindakan ibu bapa itu sendiri.
Pengabaian terhadap ibu bapa boleh disebabkan daripada pengalaman anak-anak itu
sendiri. Contohnya, jika sewaktu kanak-kanak, kedua ibu bapa mereka bersikap
bengis, suka mendera, maka, anak-anak akan bertindak balas dan menyimpan
perasaan untuk membalas dendam terhadap kedua ibu bapa mereka yang dianggap
kejam itu. Oleh itu, salah satu cara untuk memuaskan hati mereka ialah dengan
mengabaikan kebajikan dan kesihatan kedua ibu bapa mereka.. Bagi mengatasi
masalah ini, anak-anak patut mengamalkan nilai tanggungjawab terhadap keluarga
dan berfikir secara rasional akan tanggungjawab yang harus dipikul sebagai
seorang anak.
Kesimpulannya, anak-anak tidak
wajar menempatkan ibu bapa mereka di
rumah orang-orang tua dan mengabaikan mereka dengan begitu sahaja. Walaupun banyak
alasan yang diberikan, namun sebagai masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai
murni, anak-anak sememangnya tidak patut membiarkan ibu bapa mereka
menghabiskan sisa-sisa kehidupan di rumah orang orang-orang tua. Hargailah ibu
bapa kita selain hidup sebagaimana mereka menantang kita bagai minyak yang
penuh sejak kita masih bayi lagi. Janganlah kita menjadi anak yang derhaka
kepada kedua orang tua demi mengejar kehidupan duniawi yang tidak menjanjikan
apa-apa.