Sunday 6 July 2014

Kerja Kursus Pendidikan Moral 2013/ 2014 (tugasan harian 1)

Kita sering didedahkan dengan perbuatan sumbang seperti salah laku seks, pelacuran, rogol, pergaulan bebas serta budaya lepak dalam kalangan masyarakat kita. Apa yang menyedihkan, salah laku seumpama ini melibatkan golangan remaja yang masih di bangku sekolah. Pada pandangan anda, bagaimanakah golongan remaja dapat mengelakkan diri daripada terlibat dalam masalah seumpama ini?

Saban hari, kita sering disogokkan dengan berita-berita mahupun isu-isu semasa mengenai remaja kini yang terlibat dengan pelbagai perbuatan sumbang seperti salah laku seks, pelacuran, rogol, pergaulan bebas serta budaya lepak. Dapat dilihat dengan jelas bahawa kebejatan akhlak dalam kalangan remaja seolah-olah semakin sukar dibendung lagi. Oleh itu, remaja perlulah ada kesedaran agar tidak terjebak dengan anasir-anasir yang tidak sihat.

Bagi mengelakkan golongan remaja daripada terlibat dalam masalah seumpama ini, remaja haruslah dilengkapkan dengan ilmu keagamaan secukupnya. Setiap agama menggariskan para penganutnya, untuk mendekati kebaikan dan menjauhi kejahatan. Remaja perlu bertindak bijak untuk tahu apa yang dilarang dan dibenarkan dalam agama masing-masing. Apabila golongan remaja mematuhi segala suruhan-Nya, secara automatik remaja akan tahu membataskan diri dalam pergaulan dan gaya hidup seharian mereka. Oleh yang demikian, para remaja haruslah mengamalkan nilai kepercayaan kepada Tuhan.

Selain itu, remaja juga hendaklah mengamalkan nilai rasional agar mampu mengelakkan diri dalam gejala-gejala negatif remaja masa kini. Golongan remaja mestilah boleh memilih rakan sebaya yang baik bagi manfaat bersama. Seperti yang kita sedia maklum, remaja lebih banyak menghabiskan masa dengan rakan sebaya mereka. Keadaan ini akan turut mempengaruhi cara hidup mereka. Oleh itu, remaja perlu dapat mengambil tindakan wajar dengam memilih rakan sebaya yang sesuai. Sekiranya seseorang remaja tersebut memilih untuk bergaul  dengan individu yang suka melepak, maka tidak mustahillah remaja itu sendiri akan turut terlibat sama.

Di samping  itu, para remaja juga mestilah mendisiplinkan diri serta mematuhi peraturan yang ditetapkan. Dalam erti kata lain, remaja perlulah mengamalkan nilai amanah dalam diri masing-masing. Memang tidak dapat dinafikan, bahawa remaja kini memang penuh dengan naluri ingin mencuba. Jiwa remaja juga cepat mahu memberontak jika mereka sering kali dikongkong. Hal ini mampu diatasi jika para remaja mempunyai sikap bertanggungjawab untuk mendisiplinkan diri dan belajar mematuhi setiap peraturan atau larangan yang telah ditetapkan sama ada di sekolah, di asrama, mahupun di rumah. Jika remaja mampu megendalikan amanah tersebut dengan baik, maka mereka mampu membentuk diri supaya boleh menimbulkan keyakinan orang lain terhadap diri remaja kini.

Kesimpulannya, remaja itu sendiri yang harus bertanggungjawab ke atas dirinya. Bak kata perpatah, “tepuk dada, tanya selera”. Remaja perlu bijak berfikir untuk masa depan mereka dan bukan sekadar menginginkan keseronokan sementara semata-mata.


No comments:

Post a Comment