Wednesday 30 July 2014

Mengapakah anak-anak lebih suka menempatkan ibu bapa mereka di rumah orang-orang tua?

Dewasa ini, kebanyakan anak-anak lebih suka menempatkan ibu bapa mereka di rumah orang-orang tua. Mengapakah fenomena ini berlaku?

“Seorang ibu mampu menjaga sepuluh orang anak, tetapi sepuluh orang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu”. Kata-kata seperti itu sering dibicarakan mengenai anak-anak pada zaman siber ini yang dikatakan tidak mampu menjaga orang tua mereka. Mereka lebih rela menempatkan orang tua mereka di rumah-rumah orang tua atau dibiarkan terbiar tanpa dijaga. Fenomena seperti itu berlaku secara berleluasa  akibat beberapa faktor.


Menempatkan golongan warga emas di bawah penjagaan rumah kebajikan merupakan satu perbuatan yang tidak bermoral oleh anak-anak. Antara faktor yang paling ketara yang mengakibatkan fenomena tersebut berlaku ialah sikap manusia itu sendiri. Segelintir anak-anak memandang hina terhadap golongan ini. Mereka menganggap golongan ibu bapa yang sudah lanjut usia tidak berguna lagi malah membebankan. Oleh itu, anak-anak lebih gemar menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang-orang tua daripada menjaganya sendiri . Seharusnya anak-anak wajib  mengamalkan nilai kasih sayang terhadap keluarga  dan belajar menghargai  ibu bapa sendiri kendatipun ibu bapa mereka sudah tua dan tidak mampu menguruskan diri sendiri.



Bukan itu sahaja, anak-anak juga sering memandang ringan terhadap orang tua mereka. Mereka menganggap ibu bapa mereka telah tua tidak berguna dan berjasa lagi. Mereka tidak terfikir tentang jasa-jasa yang telah diberikan oleh ibu bapa mereka sehingga  mereka dapat menikmati kesenangan. Ingatlah, tanpa ibu bapa, maka tiadalah insan yang bergelar anak-anak di muka bumi ini. Selain itu, kecacatan, nyanyuk, ketidaksefahaman antara ibu bapa dan anak-anak, kesibukan kerjaya anak-anak, dan masalah kewangan juga merupakan punca kesanggupan anak-anak menghantar ibu bapa ke rumah orang tua. Justeru, anak-anak  mestilah mengamalkan nilai hormat dan taat kepada anggota keluarga dan mengambil berat akan tanggungjawab menjaga kedua ibu bapa.



Dari aspek lain pula, punca pengabaian warga tua juga disebabkan oleh tindakan ibu bapa itu sendiri. Pengabaian terhadap ibu bapa boleh disebabkan daripada pengalaman anak-anak itu sendiri. Contohnya, jika sewaktu kanak-kanak, kedua ibu bapa mereka bersikap bengis, suka mendera, maka, anak-anak akan bertindak balas dan menyimpan perasaan untuk membalas dendam terhadap kedua ibu bapa mereka yang dianggap kejam itu. Oleh itu, salah satu cara untuk memuaskan hati mereka ialah dengan mengabaikan kebajikan dan kesihatan kedua ibu bapa mereka.. Bagi mengatasi masalah ini, anak-anak patut mengamalkan nilai tanggungjawab terhadap keluarga dan berfikir secara rasional akan tanggungjawab yang harus dipikul sebagai seorang anak.



Kesimpulannya, anak-anak tidak wajar  menempatkan ibu bapa mereka di rumah orang-orang tua dan mengabaikan mereka dengan begitu sahaja. Walaupun banyak alasan yang diberikan, namun sebagai masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai murni, anak-anak sememangnya tidak patut membiarkan ibu bapa mereka menghabiskan sisa-sisa kehidupan di rumah orang orang-orang tua. Hargailah ibu bapa kita selain hidup sebagaimana mereka menantang kita bagai minyak yang penuh sejak kita masih bayi lagi. Janganlah kita menjadi anak yang derhaka kepada kedua orang tua demi mengejar kehidupan duniawi yang tidak menjanjikan apa-apa.

Kerja Kursus Pendidikan Moral 2013/ 2014 (tugasan harian 7)

Pembuangan bahan-bahan sisa pertanian akan mencetuskan masalah alam sekitar sekiranya tidak diurus dengan baik. Bincangkan bagaimana bahan sisa pertanian boleh ditebusguna untuk mengelakkan masalah alam sekitar.



Alam sekitar penting kepada kehidupan manusia dan benda-benda hidup yang lain. Hal ini demikian kerana alam sekitar yang bersih dapat menjamin kehidupan yang sejahtera. Antara kepentingan menjaga alam sekitar ialah dapat mewujudkan suasana persekitaran yang bersih dan nyaman. Suasana yang sedemikian penting terutamanya untuk merehatkan minda setelah penat bekerja atau belajar. Suasana yag tenang dan nyaman juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan mengelakkan ketegangan. Namun demikian, pembuangan bahan-bahan sisa pertanian kian meruncingkan dan akan mengundang kepada masalah alam sekitar sekiranya tidak diurus dengan baik.
       
     Bahan-bahan sisa pertanian boleh ditebus guna untuk mengelakkan masalah alam sekitar. Pelbagai cara boleh dilakukan bagi memastikan keberkesanan kaedah menebus guna bahan-bahan sisa pertanian. Cara yang pertama ialah dengan menghasilkan baja kompos. Bahan-bahan sisa buangan pertanian seperti jerami, sekam padi, dan hampas tebu boleh diproses untuk menghasikan baja organik. Baja organik tersebut boleh digunakan bagi membaja tanaman bagi menyuburkan tanah dan meningkatkan kualiti tanaman baharu.. Oleh itu, nilai menyayangi dan menghargai alam sekitar hendaklah disemai dalam kalangan masyarakat Malaysia bermula dari zaman kanak-kanak lagi, bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
          
  Selain itu, bahan sisa pertanian juga boleh ditebus guna dengan cara menjana biogas. Misalnya, najis lembu, kambing, dan ayam boleh dirawat secara biologi melalui proses pembiakan mikrobiologi. Proses pereputan yang berlaku akan menghasilkan gas metana. Penggunaan gas metana amat meluas sebagai bahan bakar, dan digunakan dalam proses kimia dalam bidang industri. Dengan menebusguna semula bahan-bahan sisa pertanian, masyarakat mampu mengekalkan kualiti kehidupan manusia dan alam sekitar yang harmoni. Oleh itu, nilai keharmonian manusia dengan alam sekitar hendaklah disemai dalam diri setiap lapisan masyarakat.
     
Bahan-bahan sisa pertanian juga boleh ditebus guna dengan cara menghasilkan perabot yang berkualiti dengan menggunakan pokok getah dan batang-batang kelapa sawit. Pokok-pokok ini terbukti dapat digunakan dalam penghasilan perabot seperti almari, meja, katil dan sebagainya. Tambahan pula, kos yang diperlukan adalah jauh lebih murah berbanding menggunakan pokok jati atau pokok-pokok lain. Sehubungan dengan itu, masyarakat perlu mengamalkan nilai  peka terhadap alam sekitar serta lebih  berfikiran inovatif  dalam usaha menyelesaikan isu alam sekitar.

Cadangan terakhir yang boleh dilakukan bagi mengurangkan masalah pengurusan pembuangan alam sekitar yang tidak terkawal adalah dengan menjadikan bahan sisa pertanian sebagai sumber makanan haiwan ternakan. Contohnya, hampas kelapa dan hampas isirung kelapa sawit boleh dijadikan makanan binatang ternakan. Justeru, masyarakat sekeliling perlulah sedar bahwa pengekalan keseimbangan alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama.Maka, nilai kemapanan alam sekitar mestilah diamalkan dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan bersama.

Akhir kata, kita mestilah bersama-sama menunaikan tanggungjawab menjaga alam sekitar demi menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik.


Kerja Kursus Pendidikan Moral 2013/ 2014 (tugasan harian 6)

Kitar semula adalah antara langkah yang boleh diambil bagi menangani masalah pencemaran alam sekitar yang samakin meruncing di samping mengurangkan pembaziran sumber semulajadi. Jelaskan kebaikan amalan kitar semula dalam kehidupan seharian kita.



Dewasa ini, sumber alam kian berkurang dan semakin tercemar. Oleh itu, pelaksanaan kempen mengitar semula barangan buangan dan terpakai amat penting. Hal ini demikian kerana barangan buangan dan terpakai yang dikitar semula merupakan salah satu langkah yang boleh diambil bagi menangani masalah pencemaran alam sekitar yang semakin meruncing di samping mampu mengurangkan pembaziran sumber semula jadi.
            
Amalan kitar semula dalam kehidupan seharian kita dapat memelihara alam daripada tercemar. Bumi kini sudah menjadi tapak lambakan sampah sarap. Besi dan plastik yang dibuang akan mengambil masa puluhan tahun untuk reput ataupun sama sekali tidak akan reput. Akibatnya, pencemaran alam akan menjadi kian serius. Oleh itu, kita perlu mengitar semula bahan-bahan tersebut. Sebagai contohnya, kertas sisa diproses semula menjadi kertas baru dan tin-tin aluminium dikitar semula untuk membuat barangan lain. Dengan itu, kuantiti sampah yang dibuang dapat dikurangkan dan masalah pencemaran alam sedikit sebanyak dapat diatasi. Seiring dengan itu, nilai menyayangi dan menghargai alam sekitar hendaklah disemai dalam diri setiap insan.
           
Pengitaran semula barangan buangan dan terpakai juga memelihara sumber alam yang terhad. Akibat tamak haloba manusia, sumber alam kian habis. Sebagai contohnya, kawasan hutan kian berkurangan akibat penebangan pokok bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap pulpa untuk membuat kertas. Begitu juga, sumber mineral seperti bijih besi dan bijih timah semakin berkurang akibat perlombongan yang berterusan. Akan tetapi, dengan mengitar semula kertas sisa, penebangan hutan dapat dikurangkan. Kegiatan mengitar semula tin-tin aluminium dan besi buruk pula akan mengurangkan aktiviti melombong mineral tersebut. Tegasnya, sumber alam yang terhad hendak dipelihara demi mengekalkan kualiti kehidupan manusia dan alam sekitar yang harmoni seperti mana yang didefinisikan dalan nilai keharmonian manusia dengan alam sekitar.
           
Masyarakat sekeliling mestilah mengamalkan nilai kemapanan alam sekitar demi pengekalan alam sekitar serta menyedari bahawa memelihara dan memuliharan alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama. Amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat juga dapat menjimatkan kos. Hal ini demikian kerana melombong mineral melibatkan kos yang tinggi. Contohnya, usaha melombong bijih besi melibatkan pelbagai jenis kos bermula dari kos pengeluaran sehingga kos memproses. Kebanyakan kos ini dapat dijimatkan jika besi buruk dikitar semula. Kos pengutipan dan peleburan besi buruk sudah pasti jauh lebih rendah daripada kos melombong sumber tersebut. Begitu juga dengan kos menebang pokok di hutan bagi tujuan menghasilkan kertas yang juga agak tinggi. Akan tetapi, kita dapat menjimatkan kos ini dengan mengitar semula kertas-kertas terpakai untuk menghasilkan pelbagai jenis kertas baharu.
            
Kempen mengitar semula juda dapat  memupuk sifat murni dalam sanubari rakyat jelata. Tabiat buruk manusia terbukti telah  mencetuskan masalah pemcemaran alam sekitar yang serius. Sehubungan dengan itu, kempen ini dapat memupuk kesedaran bahawa kita perlu berdamai dengan alam. Orang ramai mestilah menyemai nilai peka terhadap isu alam sekitar dalam diri mereka seperti lebih bersikap prihatin, menghargai barangan buangan dan pembazirantidak melakukan .
            
Kesimpulannya, kita tidak harus mencemarkan bumi bertuah ini dengan lambakan  sampah sarap. Kita seharusnya bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam menyahut seruan amalan kitar semula ini.. Ini secara tidak langsung  dapat memelihara alam sekitar demi kebaikan kita dan juga generasi yang akan datang kerana sesal kemudian tiada gunanya.

Tuesday 8 July 2014

Kerja Kursus Pendidikan Moral 2013/ 2014 (tugasan harian 5)

Perkahwinan adalah sekali dalam seumur hidup, itulah kata pujangga. Wajarkah majlis perkahwinan disambut secara sederhana atau secara besar-besaran?



Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa perkahwinan merupakan impian setiap pasangan kekasih yang ingin mendirikan rumah tangga. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga tidak lagi terikat dengan kehendak keluarga masing-masing sama ada dari segi pemilihan pasangan, aturcara majlis, dan sebagainya. Dek kata pujangga “perkahwinan adalah sekali dalam seumur hidup,” maka para bakal pasangan raja sehari ini beranggapan bahawa majlis perkahwinan sepatutnya disambut secara besar-besaran. Pada pendapat saya, penyataan tersebut adalah tidak wajar.

Majlis perkahwinan sewajarnya diadakan secara sederhana mengikut kemampuan masing-masing, bak kata pepatah, “ukur baju di badan sendiri”. Setiap pasangan haruslah menyemai nilai rasional dalam diri mereka. Bakal pengantin ini seharusnya  berfikir secara matang dalam merealisasikan kebahagiaan mereka dan sekaligus mengambil tindakan yang wajar dalam membina rumah tangga. Para pasangan hendaklah mengambil kira perancangan masa hadapan dan bukannya terlalu ghairah dalam merancang perkahwinan yang mewah lagi gemilang. Contohnya, kebanyakan pasangan muda-mudi masa kini sanggup papa asal bergaya seperti membuat pinjaman yang melebihi kemampuan dengan pihak bank semata-mata  memenuhi nafsu bagi meraikan  majlis perkahwinan secara besar-besaran.

Majlis perkahwinan  sewajarnya dilangsungkan secara sederhana bagi mengelakkan penyesalan jangka panjang. Majlis perkahwinan yang diadakan secara besar-besaran bukanlah kunci  kebahagiaan  bagi setiap pasangan kekasih yang ingin mendirikan rumah tangga.. Begitu halnya juga dengan majlis perkahwinan yang diadakan secara sederhana. Majlis perkahwinan yang sederhana tidak menandakan bahawa alam perkahwinan bagi pasangan tersebut tidak akan berkekalan. Oleh itu, setiap pasangan mestilah mengamalkan nilai kesederhanaan dalam  merancang majlis perkahwinan mereka. Mereka sewajarnya bersikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan sentiasa mengambil kira kepentingan bersama. Misalnya, banyak majlis perkahwinan memainkan  pelbagai rentak muzik dengan kuat, disajikan dengan pelbagai tarian barat dan sebagainya  tanpa menghiraukan  ketenteraman ramai pihak.

Kesimpulannya, saya tetap berpendapat bahawa majlis perkahwinan sewajarnya diadakan secara sederhana. Pengekalan kebahagiaan rumah tangga bukanlah terletak pada sebesar mana majlis yang diadakan tetapi pada kecekalan perancangan masa depan, sifat toleransi, kasih sayang yang mendalam, dan sebagainya adalah kunci bagi  keluarga yang bahagia.


Sunday 6 July 2014

Kerja Kursus Pendidikan Moral 2013/ 2014 (tugasan harian 4)

Bincangkan sebab-sebab murid sekolah perlu mematuhi peraturan.

“Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak,” bertepatan dengan pernyataan bahawa  seseorang itu terutamanya seorang pelajar hendaklah sentiasa mematuhi peraturan walau di mana berada. Mematuhi peraturan sememangnya dapat membentuk generasi yang lebih sihat dalam kalangan masyarakat. Sekiranya murid-murid tidak mematuhi peraturan, banyak kesan negatif yang akan berlaku. Antaranya ialah kes gaduh, mencuri, tidak berpakaian kemas dan sebagainya. Gejala ini akan menular  kepada murid-murid lain dan seterusnya  akan melahirkan generasi yang tidak berakhlak.

             Peraturan diadakan bukannya untuk menyusahkan murid-murid tetapi bertujuan untuk memastikan segala aktiviti dan kegiatan harian dapat berjalan lancar tanpa gangguan. Jika peraturan yang disediakan tidak dipatuhi, maka segala-galanya akan menjadi kelam-kabut dan seterusnya suasana yang tidak tenteram akan wujud. Akhirnya masyarakat akan berdepan dengan golongan yang membawakan kerosakan kepada mereka.

            Murid-murid yang mematuhi peraturan dapat memantapkan disiplin mereka, sekaligus kejadian-kejadian yang tidak diingini tidak akan berlaku. Mereka yang mematuhi peraturan akan lebih mudah memberikan tumpuan dalam pelajaran kerana mampu belajar dalam suasana yang lebih selesa. Kesannya, mereka akan berjaya dalam peperiksaan dan membentuk insan yang berilmu. Para pelajar hendaklah mengamalkan nilai mematuhi peraturan dan undang-undang untuk melahirkan golongan pelajar yang cemerlang pada masa yang akan datang. Contohnya, seorang pelajar yang menerima peraturan yang ditetapkan mampu mengelakkan diri daripada melakukan jenayah.


            Nilai harga diri boleh disemai dalam diri pelajar jika mereka mematuhi peraturan. Umpamanya, peraturan  boleh memupuk sikap mulia dalam kalangan pelajar. Selain itu, peraturan dapat mewujudkan sikap sayang-menyayangi, bertolak ansur serta dapat menghindarkan sikap negatif dalam diri pelajar dan menjaga maruah diri pelajar. Dengan ini, para pelajar mampu memuliakan maruah diri mereka.

Malahan peraturan sekolah juga dapat memupuk keinginan untuk bersaing secara sihat serta mematangkan pelajar itu sendiri. Peningkatan imej sekolah sebagai sekolah yang berdisiplin juga mampu tercapai jika para pelajar mematuhi peraturan sekolah yang ditetapkan. Setiap murid mestilah mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap imej sekolah. Oleh itu, nilai amanah hendaklah dipupuk dalam diri pelajar agar boleh menimbulkan keyakinan warga sekolah terhadap para pelajar dalam usaha meningkatkan disiplin sekolah.

            Jelaslah bahawa pelajar perlu mematuhi peraturan sekolah bagi mewujudkan masyarakat yang seimbang dari segi jasmani, emosi , rohani,  intelek dan hubungan sosial mereka. Justeru, setiap murid perlulah mematuhi yang ditetapkan agar dapat menjadi insan yang berguna dan lebih berdisiplin.


Kerja Kursus Pendidikan Moral 2013/ 2014 (tugasan harian 3)

“Demi kemajuan, alam sekitar perlu dikorbankan”
Setujukah anda dengan pernyataan ini? Bincangkan.

Dalam era globalisasi ini, masyarakat kini dilabelkan lebih mementingkan kemajuan berbanding alam sekitar. Di Malaysia, pembangunan fizikal adalah tuntutan semasa. Pernyataan “Demi kemajuan, alam sekitar perlu dikorbankan” adalah tidak wajar. Bagi saya kedua-dua aspek kehidupan tersebut haruslah diseimbangkan dengan baik. Masyarakat kini masih tidak sedar akan kepentingan alam sekitar bagi kehidupan bumi termasuklah populariti manusia sendiri. Sikap yang lebih mementingkan kemajuan tanpa perancangan yang teratur telah mengakibatkan kesan-kesan negatif sehingga tergadainya alam sekitar, iaitu habitat kehidupan manusia.

Peningkatan bilangan manusia telah meningkatan keperluan kawasan perumahan sehingga memaksa kemusnahan kawasan perhutanan berlaku. Tindakan ini telah mendatangkan kesan peningkatan iklim suhu bumi. Para pemimpin seharusnya lebih sensitif terhadap masalah yang berkaitan dengan alam sekitar. Pewartaan hutan simpan seharusnya lebih kerap dijalankan demi memelihara alam sekitar. Kita mestilah menerapkan nilai menyayangi dan menghargai alam sikitar dalam diri masing-masing. Contohnya, kegiatan memulihara kawasan yang telah tercemar boleh dilakukan.

Sistem pengairan yang digunakan dalam sektor pertanian juga boleh memberikan kesan terhadap alam semula jadi. Jika terlalu banyak air bawah tanah disedut keluar untuk mengairi tanaman pada kadar yang lebih cepat daripada kadar hujan menggantikan air bawah tanah, maka telaga terpaksa digali semakin dalam. Akibatnya, tanah menjadi kering dan turut mengalami masalah kemasinan akibat pengumpulan garam. Pencemaran yang berlaku akan medatangkan kesan yang buruk kepada manusia. Jusretu, empangan-empangan kecil boleh dibina supaya air hujan dapat dikumpulkan dan meresap ke dalam tanah bagi mengatasi masalah tersebut. Amalan pertanian juga harus diubah supaya air dapat digunakan secara berkesan. Oleh itu, nilai peka terhadap isu alam sekitar haruslah diamalkan. Kita haruslah prihatin terhadap isu-isu alam sekitar.

Sememangnya tidak dapat dinafikan lagi bahawa kita perlulah mengamalkan nilai keharmonian antara manusia dengan alam sekitar bagi mengekalan kualiti kehidupan yang lebih baik. Bagi meningkatkan kualiti kehidupan manusia dan alam sekitar, proses perbandaran perlulah dikawal bagi mengelakkan perubahan cuaca berlaku. Ini bagi mewujudkan hubungan harmoni antara manusia dan alam sekitar. Oleh itu, kerajaan seharusnya mengurangkan projek pembangunan yang terpaksa mengorbankan hutan primer.

Kesimpulannya, kemajuan dan alam sekitar perlu seimbang demi mengekalkan  negara yang berkualiti. Oleh yang demikian,  penyataan di atas tidak wajar dituruti mana-mana negara kerana alam sekitar sama pentingnya dengan kemajuan.


Kerja Kursus Pendidikan Moral 2013/ 2014 (tugasan harian 2)

Mengapakah jasa ibu bapa perlu dihargai?

Tanpa ibu bapa,siapalah kita? Ibu bapa merupakan insan terpenting dalam hidup setiap manusia. Jasa mereka kepada kita tidak dapat diganti atau dibalas menggunakan wang ringgit. Mereka melahir, mendidik, serta membesarkan kita dengan baik, bagai menatang minyak yang penuh. Pada asalnya kita adalah insan kerdil yang tidak mengetahui apa-apa mengenai erti kehidupan. Dengan asuhan dan didikan ibu bapa, maka terlahirlah kita seperti mana hari ini. Bak kata papatah, “anak kecil ibarat kain yang putih, ibu bapalah yang mencorakkannya”.

Setiap anak-anak pasti amat menyayangi ibu bapa masing-masing. Seperti mana yang dituntut dalam setiap agama, sebagai anak, kita harus mentaati segala arahan dan suruhan ibu bapa selagi perkara tersebut tidak bertentangan dengan agama yang dianuti oleh keluarga tersebut. Kita harus mematuhi segala suruhan-Nya dengan menyayangi ibu bapa dengan sepenuh hati dan cuba sedaya upaya memenuhi permintaan mereka. Mereka juga mungkin pernah terasa dengan tindakan yang telah kita lakukan secara sengaja mahupun tidak disengajakan. Namun, tidak kedengaran sebarang rintihan daripada bibir mereka. Ini kerana mereka amat menyayangi kita. Oleh itu, kita haruslah bersyukur kepada Tuhan yang telah membawa kedua-dua insan ini dalam kehidupan kita. Sebagai anak, kita perlu mengamalkan nilai kepercayaan kepada Tuhan agar mampu menjadi panduan yang terbaik bagi membalas jasa kedua-dua ibu bapa kita.

Ibu bapa telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. Sebelum kita diwajibkan bersekolah, ibu dan bapa telah mengajar kita tentang asas kehidupan seperti berjalan, berlari dan sebagainya. Setelah kita pandai berfikir, ibu bapa mula menerapkan nilai-nilai murni dalam diri kita. Bak kata perpatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Ibu bapa juga sering kali menasihatkan kita agar pandai membezakan antara baik ataupun buruk setiap keputusan yang akan kita lakukan demi mewujudkan keluarga bahagia. Oleh itu, sebagai anak kita hendaklah mengamalkan nilai hormat dan taat kepada anggota keluarga. Contohnya, kita haruslah membalas jasa ibu bapa kita dengan memberi layanan bersopan dan menjaga mereka dengan baik apabila kita dewasa kelak.

Selain itu, kita juga perlulah menerapkan nilai tanggungjawab terhadap keluarga dalam diri kita bagi membalas jasa ibu bapa kita. Ibu bapa merupakan insan terpenting dalam hidup setiap manusia. Jasa mereka kepada kita tidak ternilai harganya. Mereka sanggup membanting tulang dan bersengkang mata untuk mencari rezeki yang halal bagi membesarkan kita. Hasil yang diperolehi kemudiannya digunakan untuk membayar yuran pendidikan kita. Bagi menghargai jasa ibu bapa kita, kita hendaklah belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan kerana itulah kewajipan yang harus dilaksanakan terhadap keluarga. Ibu bapa tidak pernah mengharapkan juaan harta emas untuk membalas jasa mereka tetapi harapan mereka hanyalah agar anak-anak mereka menjadi insan yang berguna, berjaya dan mampu menjaga maruah keluarga di dunia mahupun di akhirat.Titisan yang mengalir tatkala si anak menerima segulung ijazah merupakan kegembiraan sebenar mereka.

Sebagai seorang anak,kita juga boleh menghargai jasa kedua-dua ibu bapa kita dengan beradap sopan. Hal ini kerana budi bahasa dan sopan santun yang kita pamerkan melambangkan kedua-dua ibu bapa kita. Bak kata pepatah, “bapak borek anak rintik”.Segala ilmu dan tunjuk ajar yang diterapkan oleh ibu bapa kepada kita dianggap seperti bagaimana acuan, begituhlah kuihnya. Justeru itu, kita hendaklah mengamalkan nilai hemah tinggi agar masyarakat luar akan berpandangan positif kepada kedua-dua ibu bapa kita. Contohnya, kita mestilah semtiasa berbudi pekerti mulia dalam pergaulan seharian.

Kesimpulannya, setiap anak perlulah menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapa. Meskipun sekadar ucapan hari ibu atau hari bapa dilafazkan oleh anak-anak, hal ini memadai buat mereka. Kita perlu tahu, suatu hari nanti kita juga akan  menjadi tua dan mengalami apa-apa yang dirasai oleh ibu bapa kini.