Sunday 30 March 2014

Proses pengimunan bagi kanak-kanak dan bayi baru lahir 4.0 Jenis-jenis penyakit yang dapat dicegah oleh vaksin.

Penyakit-penyakit yang boleh dicegah melalui imunisasi merupakan penyakit berjangkit yang boleh mengakibatkan morbiditi yang tinggi, mortaliti dan risiko samada penyakit itu dapat dirawat atau tidak. Kebanyakan daripada penyakit-penyakit ini dapat dicegah melalui imunisasi seperti penyakit tibi, measles (campak), mumps (beguk), rubella, pertussis (batuk kokol), tetanus (kancing gigi), chicken pox (cacar), Japanese encephalitis dan lain-lain.  Penyakit-penyakit berjangkit ini kerap menyerang kanak-kanak dan mempunyai komplikasi yang serius berbanding penyakit-penyakit lain. Justeru itu, Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaksanakan penerimaan suntikan-suntikan vaksin bagi mencegah penyakit-penyakit tersebut :- 



Tibi (Tuberculosis) 

Tibi adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria yang menjangkiti saluran pernafasan. Penyakit ini tersebar melalui air liur (melalui udara) semasa batuk atau bersin oleh orang yang dijangkiti penyakit tibi. Justeru itu, penyakit ini boleh menjangkiti ahli-ahli keluarga lain yang tinggal serumah. Wabak ini selalunya  berlaku dalam kalangan penduduk miskin dan mereka yang tinggal di kawasan sesak. Kebelakangan ini, penyakit tibi telah meningkat disebabkan kemasukan pendatang asing dan juga meningkatnya kejadian jangkitan HIV.

Komplikasi penyakit ini termasuk jangkitan kelenjar limfa (lymph node), radang selaput otak, radang paru-paru dan serangan tibi pada organ-organ lain seperti usus, tulang dan sendi, paru- paru dan buah pinggang. Selain itu, tibi mengakibatkan radang paru-paru, radang selaput otak jangkitan pada organ lain seperti usus, tulang, sendi serta buah pinggang dan boleh membawa maut.

Vaksin BCG mengandungi cecair M. Bovis hidup yang sudah dilemahkan. Imunisasi ini tidak menghalang jangkitan Tuberkulosis (TB) tetapi mengurangkan risiko terjadinya TB berat seperti TB meningitis dan TB miliari.



Hepatitis B 

Hepatitis B merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus Hepatitis B.  Penyakit ini dijangkiti dari seorang ke seorang yang lain melalui darah yang tercemar secara pemindahan darah atau perkongsian jarum suntikan. Di antara tanda- tandanya ialah demam dan jaundis. Kesan penyakit ini adalah serius di mana penyakit ini boleh mengakibatkan penyakit hati  kronik (chronic liver disease) dan kanser hati. Program imunisasi Hepatitis B bermula pada tahun 1989.


Difteria  

Difteria adalah radang pada selaput hidung dan kerongkong yang disebabkan oleh toksin (racun) yang dihasilkan oleh bakteria Difteria. Kesannya adalah bengkak pada saluran pernafasan yang mengakibatkan saluran pernafasan tersumbat dan mungkin menyebabkan kematian. Penyakit difteria boleh dirawat dengan antibiotic. Adalah penting untuk diberikan antitoksin dengan segera bagi mengelakkan kerosakan berkekalan pada jantung dan sistem saraf atau kematian. Hanya dengan pemberian imunisasi sahaja dapat melindungi bayi baru lahir dan kanak-kanak daripada penyakit difteria.  Difteria boleh mengakibatkan sukar bernafas, masalah jantung dan saraf.



Pertussis (Batuk Kokol)  

Batuk kokol adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria pertussis yang menjangkiti kerongkong dan saluran pernafasan. Akibatnya adalah batuk yang teruk dan kerap muntah dan keadaan ini mungkin berlarutan sehingga 3 bulan walaupun mendapat rawatan yang sempurna. Kematian akibat daripada penyakit ini kerap berlaku dalam kalangan bayi berumur di bawah 6 bulan. Komplikasi pertussis yang teruk adalah sawan tarik, pendarahan dalam mata, kerosakan atau radang paru-paru dan kerosakan atau radang selaput otak (meningitis). Pertussis juga menyebabkam epilepsi dan boleh membawa maut. 



Tetanus (Kancing Gigi)  

Spora tetanus didapati di dalam tanah. Penyakit tetanus boleh berlaku apabila terdapat luka yang tercemar dengan spora tetanus. Tetanus juga tersebar melalui penggunaan gunting dan peralatan lain yang tercemar dengan spora tetanus. Hanya imunisasi boleh mencegah penyakit ini. Tetanus boleh mengakibatkan kekejangan otot yang membawa kesakitan yang kuat,  kesukaran bernafas dan boleh membawa maut. 



Polio (Poliomyelitis)  

Polio disebabkan oleh virus Polio yang menyerang sistem saraf. Penyakit ini menular melalui tangan, makanan, dan air yang tercemar dengan najis daripada orang yang dijangkiti penyakit polio. Jangkitan polio biasanya menyerang sistem saraf ke otot dan ini boleh menyebabkan lumpuh. Kadangkala polio menyerang otot pernafasan yang menyebabkan kesukaran bernafas dan ini boleh membawa kematian. Penyakit ini juga boleh mengakibatkan ketidakupayaan fizikal atau kematian. 

Penyakit Hib

Penyakit Hib disebabkan oleh bakteria Haemophilus influenzae type b. Di Malaysia 30%-50%  kanak-kanak di bawah umur 5 tahun yang menghidap radang selaput otak (meningitis) adalah disebabkan penyakit Hib. Penyakit ini juga boleh mengakibat kanak-kanak menderita radang paru-paru (pneumonia), radang epiglotis, bengkak pada saluran pernafasan yang mengakibatkan saluran pernafasan tersumbat dan boleh menyebabkan kematian. Komplikasi lain seperti ketidakupayaan, pekak atau kerosakan otak yang  kekal. Penyakit ini juga boleh mengakibatkan radang selaput otak, buta, epilepsi dan terencat akal.  



Measles (Campak) 

Measles adalah penyakit yang disebabkan oleh virus Measles. Penyakit ini boleh menjangkiti sesiapa sahaja. Pada amnya orang ramai melihat penyakit ini sebagai penyakit yang tidak serius tetapi pada hakikatnya penyakit ini boleh mengakibatkan komplikasi yang teruk seperti radang paru-paru, jangkitan otak (encephalitis), sawan, jangkitan telinga yang boleh menyebabkan pekak, jangkitan pada mata dan jika tidak dirawat boleh menyebabkan buta serta kematian. Kematian kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Measles juga boleh mengakibatkan komplikasi seperti radang selaput otak (meningitis) serta cirit-birit. 



Beguk (Mumps)

Mumps disebabkan oleh virus Mumps. Tanda-tandanya adalah bengkak pada kelenjar air liur (parotid). Mumps adalah salah satu  penyebab  radang selaput otak. Pada kanak-kanak lelaki, mumps boleh menyebabkan radang buah zakar (orchitis) yang mana boleh mengakibatkan kemandulan. Selain itu, mumps juga boleh mengakibatkan jangkitan otak (encephalitis), dan pankreas serta pekak. 



Rubella  

Rubella adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus Rubella. Penyakit ini dianggap ringan bagi kanak-kanak dan dewasa tetapi kesannya pada ibu mengandung yang tidak pernah menerima imunisasi rubella akan menjadi serius terutama sekali pada kandungan trimester pertama yang boleh mengakibatkan kecacatan bayi yang dikenali sebagai Congenital Rubella Syndrome. Ini termasuk  katarak, buta, pekak, jantung berlubang, terencat tumbesaran dan terencat akal.


Papilomavirus manusia (HPV)

Virus papilomavirus dikenali sebagai penyebab pertama kanser serviks. Vaksin baginya melindungi daripada dua jenis HPV, iaitu virus yang menyebabkan 70 peratus daripada semua kanser serviks. 

Vaksin ini ditawarkan kepada semua pelajar perempuan di Tingkatan Satu dan hanya diberikan kepada pelajar jika ibu-bapanya memberi izin. Budak perempuan yang tidak bersekolah ditawarkan vaksin ini pada umur 13 tahun. 



No comments:

Post a Comment